[VIDEO] PN harap kekal guna logo sama pada PRU16 - Muhyiddin

ALOR SETAR - Perikatan Nasional (PN) belum memutuskan penggunaan logo bagi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), namun berharap logo sedia ada kekal digunakan.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setakat ini beliau mengharapkan semua parti dalam gabungan itu mengekalkan logo PN seperti digunakan sebelum ini.

“Belum bincang lagi, sementara itu mana yang sudah kekal dengan logo PN, kekal.

“Hajat kita kalau boleh seluruh calon yang bertanding di semua negeri sama ada di SG4 atau mana-mana gunakan satu logo yang sama,” katanya ketika hadir ke Muktamar Tahunan Pas ke-71 di Kompleks Pas Kedah, di sini, pada Isnin.

**media[3274126]**

Menurut Muhyiddin, penggunaan logo tunggal memberi kelebihan dari segi kos dan logistik.

“Kalau ada dua atau tiga logo, kos meningkat, logistik pun ada masalah. Apapun, perkara ini akan diputuskan nanti, yang lepas tak ada masalah, ke depan pun saya fikir tidak akan ada masalah,”jelasnya.

Beliau secara peribadi turut berhasrat agar logo PN dijadikan identiti rasmi gabungan itu.

**media[3274127]**

“Itu hajat saya sebab kita dah ada satu gabungan parti...macam di Kedah dan Perlis kita guna PN, okay.

“Cuma sebelum ini, Pas kekalkan Kelantan dan Terengganu dengan logo mereka, kita pun setuju, jadi ke depan, kalau boleh biarlah semuanya sama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menafikan dakwaan hubungan antara Pas dan Bersatu tidak mesra seperti digambarkan pihak tertentu.

“Cukup mesra, tak ada apa-apa masalah, mungkin sesetengah orang suka cerita kita tak rapat, tapi bagi saya, tujuh tahun saya pimpin perjalanan ini berjalan baik. Kita cipta kejayaan besar, banyak kerusi dimenangi dalam pilihan raya.

“Kerjasama kami dengan Pas baik di Parlimen mahupun di luar Parlimen, hal-hal berkaitan rakyat kita bincang elok-elok,” katanya.